3.2 Definisi dan Konsep Program Pendidikan Pemulihan
3.2.1 Definisi Pendidikan Pemulihan
Terdapat pelbagai pendapat yang telah dikemukan mengenai takrifan pendidikan pemulihan. Menurut Kamus Dewan, perkataan pulih bermaksud kembali seperti biasa, sembuh, atau baik semula. Maksud perkataan pulih di sini berkait rapat dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan dalam pembelajaran. Pendidikan pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha-usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan dan membetulkan sesuatu yang tidak betul. Ianya bertujuan untuk mengatasi masalah kelemahan yang dihadapi oleh guru dan murid dalam proses pengajaran dan pemulihan.
Buku Panduan KBSR 1982 mendefinisikan pemulihan sebagai ‘proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira’. Pengajaran pemulihan merupakan aktiviti – aktiviti yang dijalankan apabila mendapati seseorang murid itu gagal mempelajari sesuatu kemahiran selepas mengikuti aktiviti pembelajaran dalam program biasa maka di sini program pemulihan ini adalah bertujuan sebagai menolong seseorang murid itu untuk menguasai kemahiran berkenaan.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia dalam laporan yang bertajuk Asia and Pacific Programme of Educational Innovation for Development (1987), pengajaran pemulihan ialah ‘a process in which children with learning problems are given practical alternatives and effective approaches (programme) in education.’
Bahagian Sekolah-sekolah, Kementenian Pendidikan dalam pekeliling KP (BS) 8502I5IPKIJ1d. V (26) bertarikh 8 Januani 1986 telah mendefinisikan pengajaran pemulihan sebagai satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini.
Ini bermakna pengajaran pemulihan adalah satu proses pengajaran dengan pendekatan yang lebih berkesan, praktikal bagi murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), dalam konteks KBSR Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Mereka ini hendaklah dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan.
Persatuan Pendidikan Pemulihan Kebangsaan bagi United Kingdom (1975), mendefinisikan pengajaran pemulihan sebagai satu program pengajaran khas yang dirangka bagi memenuhi keperluan pendidikan bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kalangan murid-murid di sekolah-sekolah biasa. Persatuan ini juga mengatakan pengajaran pemulihan sebagai tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi kesusahan dan segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa atau di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan dalam kumpulan yang diasingkan untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
Menurut Chua (1977), pengajaran pemulihan sebagai satu pengajaran yang bertujuan untuk membantu murid yang lemah, melalui pendekatan perseorangan dalam kelas yang kecil bilangan muridnya. Pengajaran ini menggunakan kurikulum yang diubahsuaikan dengan menitikberatkan perkara yang praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang dimudahkan serta disampaikan dengan teratur serta dikendalikan oleh kakitangan ikhtisas (profesional) yang terdiri daripada Guru Pemulihan dengan kerjasama doktor, pekerja sosial, pakar jiwa dan pihak-pihak lain yang berkaitan. Kesimpulan pengajaran pemulihan adalah sejenis pengajaran yang dijalankan untuk membantu murid-murid lambat dalam pembelajaran di sekolah agar mereka tidak terus ketinggalan dalam proses pendidikan di sekolah dan dapat seiring dan setaraf dengan rakan mereka yang lain.
Bagi Evans (1955), pengajaran pemulihan dianggap sebagai ‘the ambulance of educational system’. Oleh itu pengajaran ini tidak boleh diambil kira sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan secara mengejut, mendadak atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Pengajarannya perlu dirancang dan disusun dengan rapi berdasarkan aspek-aspek kelemahan munid.
Berdasarkan Collins (1961), pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata pelajaran asas. Malah beliau menegaskan pengajaran ini ialah satu kaedah pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang gagal dalam mata pelajaran asas di sekolah seperti membaca, menulis dan mengira. Collins telah menyimpulkan pendidikan pemulihan sebagai, ‘special education treatment ofchildren found to befailing in the basic school subjects of reading, spelling and number’.
Kesimpulannya, istilah “murid-murid pemulihan” membawa erti bahawa murid-murid ini mempunyai pencapaian yang rendah berbanding dengan murid-murid lain yang sama peringkat persekolahan dengan mereka. Mereka ini patutlah diberi perhatian dan menghadiri kelas pemulihan yang sesuai supaya jurang perbezaan antara mereka dengan murid-murid lain dapat diperkecilkan.
3.2.2 Konsep Program Pendidian Pemulihan
Program Pendidikan Pemulihan Khas merupakan satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sebagai kemahiran asas yang menjadi fokus KBSR. Murid-murid pemulihan akan menghadiri kelas khas dalam sekolah biasa, atau kelas pemulihan khas secara sambilan atau menyertai kumpulan yang diundurkan dari kelas biasa untuk diajar oleh seorang guru pemulihan. (National Association for Remedial Education ‘NARE’ Great Britain-1997)
Menurut Koh Boh Boon (1982), konsep program pendidikan pemulihan adalah lebih terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Ia melibatkan murid-murid lambat, iaitu mereka yang lembap atau lambat mencapai pembelajaran berbanding dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian pembelajaran murid-murid ini biasanya di bawah tahap pencapaian yang sepatutnya.
Menurut Mat Nor Husin dan Jais Sahok (1990), konsep program pendidikan pemulihan khas ialah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid yang gagal di peringkat bilik darjah kerana tidak menerima isi pelajaran seperti pencapaian rakan sebaya mereka yang tidak bermasalah. Bersandarkan kepada pendapat tersebut, pendidikan pemulihan khas dapat dirumuskan sebagai satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran menguasai kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira yang merupakan fokus utama dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah” .
Konsep Pendidikan Pemulihan dalam KBSR ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Konsep Pemulihan KBSR dilaksanakan dalam kelas biasa mengikut mata pelajaran yang tertentu. Kumpulan-kumpulan akan dibentuk dan murid yang menghadapi masalah dalam kemahiran 3M akan dibimbing dan dipulihkan bagi menguasai kemahiran tersebut. Murid-murid ini dibimbing dan dipulihkan oleh guru mata pelajaran tersebut dengan mendapat khidmat nasihat daripada Guru Pendidikan Pemulihan Khas. (Buku Panduan Am KBSR - 1982)
Kelas pemulihan biasanya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti pengajaran dan pemulihan juga menfokus kepada kelemahan murid. Keluasan kelas pemulihan khas di sekolah bergantung kepada kekosongan bilik darjah di sekolah tersebut. Pada peringkat awal pelaksanaan program pendidikan pemulihan khas, keluasan kelas pemulihan khas hanya terdiri daripada satu ‘bay’ atau berada di lorong laluan. Kini, kelas pemulihan khas telah mengalami transformasi dan mempunyai kelengkapan yang terbaik bagi melahirkan kelas yang kondusif dan mampu menjana perubahan kepada murid-murid pemulihan bagi mengatasi kelemahan mereka.
Selain itu, guru yang mengajar kelas pemulihan khas merupakan guru yang terlatih di institusi yang menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan seperti di universiti dan institut perguruan sama ada dalam negara atau luar negara. Hasilnya, guru pemulihan khas mempunyai kepakaran yang khusus bagi membimbing dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang lemah.
Seterusnya, konsep pendidikan pemulihan khas ialah pengajaran pemulihan berdasarkan kepada diagnosis kelemahan dan kesulitan yang dihadapi oleh murid-murid tersebut. Sebelum mereka ditempatkan di kelas pendidikan pemulihan khas, mereka akan mengikuti prosedur-prosedur seperti yang terdapat dalam carta alir pelaksanaan program pendidikan pemulihan khas seperti mengenal pasti murid yang menghadapi masalah pembelajaran dan membuat penilaian awal atas mereka.
Pendekatan secara individu, misalnya mengadakan kelas khas yang kecil dan kurikulum yang anjal yang boleh diubahsuai bagi membolehkan murid-murid ini menguasai kemahiran membaca, menulis.dan mengira. Dalam mengajar sesuatu kemahiran, guru pendidikan pemulihan khas akan mempermudahkan gerak kerja dan menunujuk cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya murid boleh melaksanakannya, mendapat kepuasan dan menguasai kemahiran yang diajar.
No comments:
Post a Comment