3.3 Keperluan Pelaksanaan Program Pemulihan di Sekolah-sekolah Rendah di
Malaysia
Pada bulan November 1979, Jawatankuasa Kabinet yang
bersidang telah memperakukan bahawa mereka yang lemah dalam bidang kemahiran
tertentu hendaklah diberikan pendidikan pemulihan secara teratur dan
terancang. Berdasarkan perakuan ini,
guru-guru diharapkan supaya mengambil inisiatif untuk menjalankan pengajaran
pemulihan secara besungguh-sungguh.
Dalam dunia yang moden ini, tidak dapat mengenal huruf
akan menyekat kemajuan, tidak boleh menulis akan menggangu perjalanan kehidupan
harian dan tidak boleh menulis bererti tidak mempunyai satu kemahiran asas
untuk membatang dan menurunkan sesuatu kepada lambang yang telah diterima oleh
masyarakat sebagai bukti kebolehan dalam hidup zaman moden ini. (Kamarudin Hj. Husin, 1990) Sekiranya murid-murid sekolah rendah gagal
menguasai salah satu atau beberapa kemahiran, mereka pasti sukar atau tidak
mampu untuk meneruskan pelajaran dan masyarakat akan menganggap mereka sebagai
mundur. Ini tidaklah wajar berlaku dalam
proses pendidikan yang baik.
Dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan
Pemulihan Khas, pengajaran pendidikan pemulihan khas adalah untuk memastikan
semua murid Tahap 1 menguasai kemahiran asas 3M. Program Pendidikan Pemulihan lebih menjurus
kepada memenuhi keperluan murid-murid yang gagal mengikuti proses pengajaran
dan pembelajaran dalam kelas biasa.
Sasaran Kementerian Pelajaran Malaysia ialah memastikan semua
murid-murid Tahap 1 menguasai kemahiran-kemahiran 3M.
Setelah menguasai kemahiran asas tersebut, murid-murid
ini akan meneruskan pembelajaran mereka di kelas biasa. Mereka akan bersaing dengan rakan mereka bagi
mencapai tahap kompetensi yang terbaik. Di
dalam kelas biasa, mereka akan dibantu oleh guru-guru mata pelajaran dan rakan
sebaya mereka bagi mengekalkan tahap pencapaian penguasaan kemahiran asas.
Melalui program pendidikan pemulihanan khas, murid-murid
yang tidak menguasai kemahiran-kemahiran 3M akan mendapat hak yang sama seperti
yang dinikmati oleh rakan-rakan sebaya dengan melibatkan diri dalam
aktiviti-aktiviti sosial sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Murid-murid pemulihan juga akan mendapat
layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan
mental individu. Dengan adanya bimbingan
yang mencukupi, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengatasi masalah
disiplin yang ditimbulkan oleh murid-murid yang tercicir ini akan
tercapai.
Selain itu, program pendidikan pemulihan khas mampu
membina, memperoleh dan mengembangkan sikap percayakan diri sendiri murid-murid
pemulihan. Di dalam kelas pemulihan,
muid-murid akan diberi motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri terhadap
kebolehan mereka di samping mencungkil dan memperkembangkan bakat yang mereka
miliki. Secara tidak langsung,
murid-murid pemulihan ini akan dapat mengatasi masalah penguasaan kemahiran
asas seperti yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bukan
itu sahaja, program pendidikan pemulihan juga meringankan masalah yang dihadapi
oleh murid-murid melalui bantuan guru dan pihak-pihak yang berkenaan seperti guru
kelas, guru mata pelajaran, guru pemulihan khas dan lain-lain. Masalah dan beban murid-murid pemulihan untuk
menguasai kemahiran-kemahiran 3M dapat diringan dan dipulih seandainya setiap
pihak mempunyai sikap kerjasama yang jitu dan memberi komitmen yang tinggi
untuk membantu murid-murid pemulihan kembali ke kelas normal.
No comments:
Post a Comment